BINGKOR: Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) bakal menganjurkan dua program utama bermula September hingga November ini, iaitu Karnival Sukan BMBR 2025 dan Jelajah Sinar Kasih BMBR.

Ketua Sekretariat BMBR, Encik Garrett Patrick, berkata kedua-dua program tersebut dirangka dengan objektif berbeza namun tetap selari dengan matlamat Hala Tuju BMBR 2.0 yang menekankan aspek pembangunan komuniti secara menyeluruh.

Menurutnya, karnival itu akan menjadi platform untuk menghimpunkan masyarakat melalui pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat serta menyemai semangat kesukanan dalam kalangan komuniti Bingkor.

Selain itu, Jelajah Sinar Kasih BMBR pula memberi tumpuan kepada aspek kebajikan, sukarelawan dan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Melalui kedua-dua program ini, Sekretariat BMBR berhasrat menggalakkan penglibatan menyeluruh rakyat serta memperkukuh agenda pembangunan komuniti seperti digariskan dalam Hala Tuju BMBR 2.0,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penganjuran program berkenaan dijangka menjadi pemangkin ke arah pembinaan komuniti yang lebih sihat, sejahtera dan bersatu padu di kawasan DUN Bingkor.-pr/BNN