KENINGAU: Kehadiran seorang pemimpin bersama keluarga memberi makna tersendiri apabila sokongan tulus mereka mampu meniup semangat juang atlet muda yang bakal membawa nama sekolah ke pentas kebangsaan.

Detik penuh penghargaan itu terserlah apabila Timbalan Penyelaras Parlimen P.180 Keningau, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub, menyampaikan sumbangan kepada kontinjen gimrama SJKC Yuk Yin yang akan beraksi di 1st Progressive FIG Championships di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dari 29 September hingga 3 Oktober ini.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Liew Ket Lim, dalam satu majlis ringkas yang turut disaksikan barisan pengurusan sekolah, jurulatih serta para atlet gimrama.

Menurut pihak sekolah, keprihatinan Ishak dan isteri bukan sahaja menjadi tanda sokongan, malah hadir sebagai dorongan moral yang cukup besar buat kontinjen Yuk Yin. Ia dilihat mampu menyuntik keyakinan baharu kepada atlet cilik untuk tampil dengan penuh semangat dan keberanian di pentas kebangsaan.

Sokongan sebegini, tambah mereka, sekali gus membuktikan kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam bidang sukan serta kokurikulum.-pr/BNN