KENINGAU: Program Jelajah Sinar Kasih BMBR 2025 yang berlangsung di Dewan Rumah Murah JKR, Keningau berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Program anjuran Sekretariat BMBR dengan kerjasama Pejabat Wakil Rakyat N.40 Bingkor serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor itu merupakan siri pertama yang diadakan tahun ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pemuda GRS Keningau, Encik Rafie Robert yang hadir mewakili YB Datuk Robert Tawik @ Nordin, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor.
Menurut penganjur, objektif utama program ini adalah memperkukuhkan silaturahim, menyantuni masyarakat serta membuka ruang kepada komuniti setempat untuk bersama-sama terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
“Jelajah Sinar Kasih akan diteruskan di beberapa lokasi terpilih sebagai wadah penyatuan masyarakat serta usaha bersama meningkatkan kesejahteraan komuniti khususnya di kawasan N.40 Bingkor,” katanya.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Darah Keningau, Tune Talk dan Robert T Optical atas sokongan serta penyertaan dalam menjayakan program berkenaan.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi JKDB Tuarid Taud/Bandar, Puan Siti Rodziah Yati binti Harun bersama ahli-ahli JKDB dan KRT; Pemaju Mukim Tuarid/Bandar, Encik Rahman Bidin; Ketua PDM Keningau Station, Haji Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles; serta penduduk Rumah Murah dan Tuarid Taud Atas yang hadir beramai-ramai.-pr/BNN





