KENINGAU: Politik sering ditemui bukan hanya di pentas ceramah atau dewan rasmi, tetapi juga dalam momen sederhana yang menyentuh hati. Begitulah detik apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, mengendong seorang bayi dalam kunjungan mesra beliau baru-baru ini.

Sambil tersenyum penuh makna, Annuar melontarkan pesanan ringkas tetapi sarat falsafah:

“Baby ni hidupnya mudah, minum susu terus lena. Kita pula, kena kerja kuat siang malam untuk pastikan dia besar nanti bukan setakat minum susu, tapi dapat rasa manisnya kehidupan sebagai rakyat yang terbela.”

Ungkapan itu menjadi peringatan bahawa kepimpinan bukan sekadar melafazkan janji, sebaliknya menuntut kerja keras untuk menjamin masa depan generasi akan datang. Bagi Annuar, bayi adalah simbol harapan baharu, manakala pemimpin memikul tanggungjawab memastikan rakyat bukan sekadar cukup makan, tetapi menikmati kesejahteraan hidup dalam suasana aman dan makmur.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, mesej Annuar itu dilihat pemerhati sebagai isyarat politik yang halus tetapi jelas. Di Liawan, yang majoriti penduduknya terdiri daripada golongan petani dan pekerja, keperluan asas seperti jalan raya, peluang pekerjaan, pendidikan serta sokongan ekonomi luar bandar terus menjadi keutamaan.

Ungkapan beliau menggambarkan kesedaran bahawa pengundi tidak hanya mahukan retorik, sebaliknya mengharapkan kepimpinan yang memahami denyut nadi kehidupan rakyat.

Menurut pemerhati politik tempatan, gaya komunikasi Annuar menonjol kerana dekat dengan bahasa akar umbi.

“Annuar tidak bercakap soal janji kosong. Dia bercakap tentang realiti hidup rakyat Liawan – dari buaian bayi hingga masa depan yang mahu dibina. Itu bahasa politik yang dekat dengan hati pengundi,” katanya.

Momen Annuar mengendong bayi kecil itu seakan doa buat generasi baharu: semoga membesar menjadi anak yang baik. Namun, doa itu bukan hanya untuk si kecil, tetapi juga untuk Liawan seluruhnya – agar terus matang, sejahtera dan terbela.

PRN17 kelak bakal menjadi ujian sama ada rakyat Liawan mahu terus bersama kepimpinan yang bekerja siang malam demi mereka, atau memilih jalan lain yang hanya dipenuhi janji manis tanpa realiti.-pr/BNN