KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman sekali lagi menzahirkan komitmen terhadap pembangunan komuniti apabila menyampaikan sumbangan kepada Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Keningau.

Sumbangan berkenaan diserahkan sebagai tanda sokongan kepada kelab yang akan menganjurkan program riadah bersama Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) AIM Cawangan Keningau pada 3 Oktober ini di Kolam LD Miana, Kampung Membulu, Jalan Ansip.

Bantuan tersebut disampaikan melalui Pembantu Operasi Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Mohamad Raihan Jinode, dan diterima oleh wakil pengerusi kelab, Rahmah Rahmat.

Menurut Rahmah, pihaknya amat menghargai keprihatinan Annuar yang sentiasa memberi sokongan terhadap usaha memperkasa usahawan mikro dan kecil di daerah ini.

“Perhatian dan dorongan daripada wakil rakyat seperti Annuar menjadi pemangkin semangat kepada ahli-ahli kelab untuk terus berusaha meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan kecil dan sederhana,” katanya.

Sumbangan itu melambangkan kesinambungan usaha Annuar dalam memperkukuh jaringan sokongan kepada komuniti usahawan luar bandar, selaras dengan agenda pembangunan ekonomi setempat.-pr/BNN