KOTA KINABALU : Dalam menelusuri sejarah kepimpinan politik di Sabah, ada kebijaksanaan dalam menganalogikan watak-watak kepimpinan dengan pepohon. Ada yang laksana pokok aru — tegap berdiri, kukuh akar dan keras hati.
Namun, sebagaimana kerasnya pokok aru, ia juga kaku dan tidak mudah lentur. Apabila badai melanda, ia mudah patah.Buluh, sebaliknya, tidak demikian.
Ia condong mengikut arah angin, tetapi tidak rebah. Akarnya merayap dalam diam, mencengkam tanah dengan setia. Sejak menjawat jawatan Ketua Menteri pada tahun 2020, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor lebih menyerupai buluh daripada aru.
Gaya kepimpinannya boleh dihimpun dalam satu istilah yang padat namun sarat makna: Strategi Buluh — fleksibel, tahan diuji, dan mampu bertahan dalam gelora politik.
REALITI POLITIK SABAH YANG UNIK.
Sabah bukan sekadar sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Ia adalah wilayah yang kaya dengan sumber alam dan berwarna-warni dalam kemajmukan rakyat.
Namun begitu, politiknya terkenal sebagai medan yang tidak menentu. Gabungan dibentuk dan terlerai dengan pantas, fenomena lompat parti menjadi budaya, dan silih ganti kepimpinan berlaku tanpa menanti musim.
Dalam lanskap sebegini, kepimpinan yang bersifat keras dan tidak fleksibel bukan sahaja tidak bijak, malah boleh membawa kepada keruntuhan.
Sebaliknya, yang lebih berkesan ialah kebijaksanaan untuk menyesuaikan diri, membina jaringan gabungan, dan bertindak secara pragmatik. Kepimpinan Hajiji dari dahulu lagi sehingga kini mencerminkan pendekatan sedemikian.
MEMBINA GABUNGAN,MEMELIHARA KESEIMBANGAN.
Hajiji menjadi Ketua Menteri pada September 2020. Sejak itu, keperluan untuk mengimbangi pelbagai tuntutan dan tekanan terhadap pentadbirannya yang berterusan kini semakin meruncing.
Di satu sisi, wujud desakan untuk lebih banyak autonomi dan agar GRS berdiri dengan identitinya sendiri dalam pilihan raya akan datang.
Di sisi lain, kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya perlu terus dipelihara. Menjaga kedua-dua sisi tanpa merobohkan jambatan antara keduanya merupakan ujian utama kepada Strategi Buluh yang digagaskan.
MENEMPUH BADAI POLITIK.
Sepanjang tempoh. pentadbirannya, Hajiji telah beberapa kali menjadi sasaran percubaan penggulingan — yang paling menonjol, insiden “Langkah Kinabalu” pada Januari 2023.
Namun dengan tenang dan cermat, beliau berjaya mengagalkannya dan terus kekal, malah bertambah kukuh. Pendekatannya bukan bersifat konfrontasi, tetapi penuh hikmah dengan mengamalkan pendekatan pujukan, rundingan, dan pemberian konsesi yang strategik.
Beberapa sekutu yang tampak goyah akhirnya kembali setia, manakala perancangan musuh politik kandas sebelum sempat berkembang.
Dalam masa yang sama, beliau berjaya melaksanakan reformasi penting seperti penggubalan undang-undang anti-lompat parti — untuk membendung penyakit yang telah sekian lama merosakkan kestabilan politik Sabah.
INTISARI STRATEGI BULUH.
Metafora buluh yang menjadi teras kepimpinan Hajiji menggambarkan tiga sifat utama: kelenturan, ketahanan, dan pragmatisme.
Nada pertuturannya lembut, tetapi matlamatnya tidak gocang. Keupayaannya untuk menyesuaikan diri apabila berdepan cabaran merupakan senjata ampuh, manakala ketegasannya dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mencerminkan prinsip yang utuh.
Gabungan antara kelenturan dan keteguhan ini menjadikan Strategi Buluh suatu pendekatan yang bijaksana dan lestari.
ANTARA HIKMAH DAN RISIKO.
Namun, setiap kelebihan datang bersama cabarannya. Fleksibiliti yang berlebihan boleh disalahtafsir sebagai ketidaktegasan.
Sesetengah pengkritik mempersoalkan prinsip beliau apabila kedudukannya kelihatan berubah-ubah. Keputusan-keputusan strategik pula, ada kalanya tampak perlahan dan kabur.
Inilah sisi lain Strategi Buluh — jika terlalu keras, boleh patah; tetapi jika terlalu lentur, kelihatan lembik dan meragukan. Mencari keseimbangan inilah yang menjadi cabaran terbesar buat Hajijii.
MENJENGAH MASA DEPAN.
Dalam realiti politik Sabah yang rumit dan dinamik, gaya kepimpinan yang kaku ibarat pokok aru — tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan arah angin.
Sebaliknya, buluh yang fleksibel tetapi berpaut erat kepada akar mampu terus teguh, walau ditiup ribut yang paling dahsyat.
Pragmatisme Hajiji telah menyelamatkan kerajaannya daripada perpecahan, memastikan hubungan baik dengan kerajaan pusat, serta mengekalkan kestabilan politik negeri.
Namun, untuk Strategi Buluh benar-benar diangkat sebagai satu warisan kepimpinan, tiga ujian utama perlu diadaptasi dan direalisasikan: –
1. Memastikan kesatuan (atau bentuk baharunya) GRS kekal utuh menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.
2. Memenangi sekurang-kurangnya majoriti mudah dalam pilihan raya tersebut.
3. Melaksanakan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ 2.0) secara menyeluruh dan memberi manfaat nyata kepada rakyat serta memperkukuh hak negeri.
Sekiranya ketiga-tiga ini dapat dicapai, Strategi Buluh bukan sahaja akan diingati sebagai strategi bertahan, tetapi sebagai tonggak kepimpinan yang membina kekuatan berpanjangan.
PENUTUP.
Sama ada dengan sengaja ataupun tidak, pendekatan Hajiji dalam memimpin boleh disifatkan sebagai satu strategi kepimpinan yang halus tetapi penuh hikmah:
“Strategi Buluh” — melentur bersama angin, namun tetap berakar pada tanah yang asal. Dalam dunia politik yang sentiasa bergolak, kekuatan tidak semestinya terletak pada kekerasan, tetapi pada keupayaan untuk beradaptasi dan bertahan.
Namun demikian, sepertimana buluh yang tidak tumbuh sendirian, strategi ini juga menuntut kekuatan kolektif. Buluh tumbuh dalam rumpun, saling menyokong dan melindungi.
Maka, akhirnya, warisan kepimpinan Hajiji akan ditentukan oleh kemampuannya bukan sahaja untuk menyelamatkan gabungan yang ada, tetapi untuk memperjuangkan hak-hak Sabah dalam jangka masa panjang — dengan akar yang semakin mendalam dan batang yang melentur menghadapi masa hadapan yang mencabar.
Oleh Bilson Kurus, PhD – pr/BNN