KUALA LUMPUR : Apabila istilah “kredit karbon” disebut, ramai di Malaysia masih menganggapnya sebagai jargon asing yang sukar difahami atau sekadar agenda alam sekitar yang tidak memberi kesan langsung kepada kehidupan harian. Hakikatnya, pasaran kredit karbon global diunjurkan mencecah sehingga USD1 trilion (RM4.7 trilion) menjelang 2030, jumlah yang lebih besar daripada keseluruhan ekonomi negara kita hari ini.

Kredit karbon sebenarnya konsep yang mudah. Setiap satu unit kredit mewakili satu tan karbon dioksida (CO₂) yang berjaya dikurangkan atau dielakkan daripada memasuki atmosfera. Syarikat yang melepaskan pencemaran melebihi had ditetapkan perlu membeli kredit ini untuk mengimbangi pelepasan mereka. Sebaliknya, projek yang melindungi hutan, memulihkan bakau, atau membangunkan tenaga boleh diperbaharui boleh menjual kredit yang dihasilkan. Semua transaksi ini diperakui oleh badan antarabangsa seperti Verra bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan. Ibaratnya, kita berdagang “udara bersih” dan dunia sanggup membayar untuk mengekalkan paru-paru hijau kita.

Pasaran ini sedang berkembang pesat di seluruh dunia. Pada 2022, nilainya dianggarkan USD2 bilion, dan menurut McKinsey, ia boleh melonjak sehingga USD250 bilion menjelang 2030. Bank Dunia dan Trove Research pula meramalkan potensi setinggi USD1 trilion jika negara-negara benar-benar mencapai sasaran sifar bersih. Negara jiran kita, Indonesia, telah melancarkan bursa karbon pada 2023 dan memperdagangkan lebih 460,000 kredit hanya dalam beberapa bulan pertama. Brazil pula mengintegrasikan hutan Amazon dalam strategi kewangan karbon mereka, manakala beberapa negara di Afrika telah menandatangani perjanjian bernilai jutaan dolar dengan syarikat teknologi global untuk pemulihan hutan.

Malaysia juga tidak ketinggalan. Pada Disember 2022, Bursa Malaysia melalui Bursa Carbon Exchange (BCX) menganjurkan lelongan pertama, menyaksikan 150,000 unit kredit karbon (VCU) berjaya dijual. Permintaan melebihi penawaran, tanda jelas bahawa pasaran global percaya kepada kredibiliti projek karbon kita.

Di Sabah, Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut yang meliputi lebih 80,000 hektar telah diperakui di bawah piawaian antarabangsa Verra dan menerima pengiktirafan Gold Level kerana manfaat kepada iklim, komuniti serta biodiversiti. Kredit karbon yang dihasilkan di sini dianggap bertaraf premium dan sangat bernilai. Malah, Sabah turut meluluskan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025, menjadikannya antara negeri pertama di rantau ini dengan kerangka undang-undang khusus dalam pengurusan karbon.

Namun begitu, ramai di Malaysia masih melihat kredit karbon sebagai sesuatu yang abstrak atau sekadar “green talk”. Sebahagiannya berpunca daripada kurangnya kesedaran tentang cara pasaran ini berfungsi. Ketidaktentuan dasar di peringkat nasional juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan syarikat, terutama mengenai hak milik dan perkongsian hasil. Tambahan pula, budaya korporat yang sering menekankan keuntungan jangka pendek menyebabkan peluang jangka panjang seperti kredit karbon tidak diberi perhatian sewajarnya.

Apa yang sering kita lupa ialah kredit karbon kini tidak lagi terhad kepada hutan. Potensi baharu sedang muncul dalam bentuk karbon biru daripada ekosistem pantai seperti bakau dan rumpai laut, teknologi tangkapan dan simpanan karbon (CCS) dalam industri berat, dan juga kredit biodiversiti yang meletakkan nilai kewangan kepada usaha melindungi spesies dan habitat semula jadi. Malah, platform digital berasaskan blockchain sedang dibangunkan untuk menjadikan perdagangan karbon lebih telus dan dipercayai.

Justeru, ke mana hala tuju kita selepas ini? Malaysia perlu melangkah dengan lebih berani. Pertama, sebuah kerangka kerja nasional yang jelas dan menyeluruh amat diperlukan bagi menyelaraskan dasar antara kerajaan persekutuan dan negeri. Kedua, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat besar perlu menjadi peneraju, menjadikan kredit karbon sebahagian daripada strategi perniagaan utama dan bukannya inisiatif CSR semata-mata. Mereka yang bergerak awal mampu menetapkan penanda aras dan membuka ruang kerjasama antarabangsa. Ketiga, kesedaran rakyat perlu ditingkatkan. Kita mesti membetulkan persepsi bahawa kredit karbon hanyalah istilah kosong; hakikatnya ia adalah instrumen kewangan yang mampu mengubah landskap ekonomi negara.

Kredit karbon bukan mitos. Ia adalah peluang trilion dolar yang sedang terbuka luas di hadapan mata kita. Malaysia sudah pun mempunyai sumber semula jadi, projek berwibawa dan langkah awal yang membanggakan. Apa yang diperlukan kini hanyalah kesungguhan untuk bertindak dengan lebih pantas dan secara bersatu. Bas sudah pun bergerak. Persoalannya, adakah Malaysia bersedia untuk naik dan memimpin, atau sekadar melihat negara lain memacu ke hadapan dengan keuntungan yang sepatutnya milik kita?

Oleh Nirvana Jalil Ghani