KOTA KINABALU: Pertandingan Forum Pelajar Kebangsaan terbukti menjadi wadah terbaik untuk menyemai dan memupuk rasa cinta serta bangga terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Pertandingan Forum Pelajar Kebangsaan yang kini memasuki tahun ke-33 perlu dikekalkan kerana ia merupakan salah satu pendekatan untuk memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai medium integrasi dan perpaduan, sekali gus dalam pembinaan negara bangsa.
“Program ini juga berjaya melahirkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina yang mampu berbahas dan mengutarakan idea bernas.
“Pada masa yang sama, ia turut membantu meningkatkan keyakinan diri pelajar, semangat berpasukan dan kreativiti.
Saya percaya proses ini penting dalam membentuk generasi muda menjadi pemimpin hebat pada masa hadapan,” katanya pada majlis penutupan pertandingan itu di SM Kian Kok di sini, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
“Kita sedia maklum akan cabaran utama dalam menjaga martabat bahasa kebangsaan, khususnya pengaruh bahasa asing dan penggunaan bahasa rojak dalam pelbagai medium komunikasi seperti media sosial.
“Cabaran ini bukan sahaja dihadapi oleh bahasa kita, malah turut dialami oleh bahasa-bahasa lain di seluruh dunia.
“Namun, kita tidak harus tunduk kepada cabaran ini kerana melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kita mempunyai penglibatan aktif dan sokongan semua kaum dalam usaha memelihara bahasa kebangsaan,” katanya.
Ketua Menteri turut menegaskan kepentingan bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris, untuk penguasaan ilmu yang lebih luas juga tidak dapat dinafikan.
“Inilah sebabnya kita menyokong dasar MBMMBI iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata, adalah satu penghormatan apabila Sabah dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan tahun ini yang menyaksikan penyertaan pelajar dari seluruh negara.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas sokongan padu terhadap program ini dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Kebudayaan Han Malaysia serta Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF).-pr/BNN