KOTA KINABALU: Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk bertanding menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak harus ditafsirkan sebagai permusuhan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, langkah kedua-dua parti itu perlu dihormati kerana ia dibuat selepas melalui pertimbangan teliti di peringkat kepimpinan masing-masing.
Menurutnya, dalam Mesyuarat Majlis Presiden Gagasan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini, antara perkara yang dibangkitkan oleh kedua presiden parti itu, ialah cadangan agar Pakatan Harapan (PH) menggunakan bendera dan logo GRS. Namun, cadangan itu tidak dipersetujui secara majoriti oleh Presiden parti-parti komponen kerana berkait rapat dengan dasar gabungan PH.
“Sebagai pemimpin berpengalaman, Presiden STAR dan SAPP akur dengan suara ramai dan menghormati keputusan itu secara ‘gentleman’ meskipun pahit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menegaskan, keputusan STAR dan SAPP untuk membawa haluan dengan logo sendiri tidak boleh dianggap sebagai perpecahan yang bermusuhan, sebagaimana cuba digambarkan oleh pihak pembangkang.
“Demikianlah sikap profesional kepimpinan dalam GRS. Prinsip ‘gentleman’ dan dinamik dalam menerima sebarang keputusan walaupun sukar, tetap menjadi pegangan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli GRS agar kekal tenang dan memberi fokus terhadap pengukuhan jentera pilihan raya di kawasan masing-masing kerana peluang untuk meraih kemenangan diyakini masih tinggi.
“Isu ini sudah selesai. GRS sebagai sebuah gabungan yang demokratik dan dinamik menghormati keputusan berani kepimpinan kedua-dua parti.
“Kita doakan agar STAR dan SAPP turut memperoleh kemenangan, sekali gus membuka ruang kerjasama politik bersama GRS pada masa depan demi rakyat dan negeri Sabah,” katanya.-pr/BNN