SANDAKAN: Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sungai Sibuga merangkap Exco Pemuda Pusat, Henry Hj Hamdan, menegaskan bahawa perjuangan politik dari akar ke pusat, dari lokal ke nasional mesti diperkasa dengan satu tujuan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan media Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima (DSP) Masidi Manjun, yang menghormati keputusan Presiden Parti STAR dan SAPP untuk bertanding dengan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

Menurut Henry, penghormatan yang ditunjukkan semasa Mesyuarat Majlis Presiden yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri, DSP Hajiji Noor, adalah contoh budaya politik matang.

Namun beliau menegaskan, pemerkasaan politik lokal melalui Gagasan Rakyat tetap menjadi keutamaan dalam memastikan suara rakyat Sabah terus diangkat.

“Kita memperhebat perjuangan dari kampung ke daerah, dari negeri ke pusat. Tiada lain, hanya untuk rakyat. GRS akan terus mengangkat suara anak negeri agar Sabah ditadbir dengan stabil, aman dan makmur,” tegasnya.

Henry turut menekankan bahawa Gagasan Rakyat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal berpegang kepada prinsip penyatuan dan kekuatan kolektif, meskipun berdepan dengan cabaran mendatang.

“Yang penting, fokus kita bukan sekadar pada percaturan politik, tetapi pada agenda rakyat pembangunan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, dan kestabilan untuk generasi muda Sabah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Henry menegaskan bahawa kerjasama dengan parti nasional yang membentuk kerajaan di peringkat pusat adalah strategi penting untuk Sabah.

Ia bukan sahaja memastikan kestabilan politik, tetapi juga membuka ruang lebih luas bagi aliran dana pembangunan, projek infrastruktur berskala besar, serta dasar-dasar yang menguntungkan rakyat Sabah.

“Sabah tidak boleh bergerak sendirian. Kita mesti bersama dengan kerajaan di pusat agar setiap perancangan, setiap agenda pembangunan negeri mendapat dukungan serta manfaat daripada dasar nasional.

Hanya dengan gabungan ini, kita mampu memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara,” ujarnya.

Dengan semangat ini, Henry menyeru seluruh anak muda agar melihat politik bukan hanya sebagai medan pertembungan, tetapi wadah memperjuangkan masa depan negeri dengan gabungan kekuatan lokal dan nasional demi kepentingan rakyat.-pr/BNN