KENINGAU: Program Unity Run 6.0KM Tingkatan 6 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Keningau, hari ini berlangsung penuh meriah dengan penyertaan 335 pelajar mewakili 11 Pusat Tingkatan Enam (PTEM) dari lima daerah.

Acara tahunan itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, Encik Rafie Robert, yang menyifatkan penganjuran berkenaan sebagai wadah penting dalam memupuk semangat kesukanan, membina jaringan perpaduan, selain membentuk pelajar yang sihat, cerdas dan seimbang.

Unity Run dianjurkan oleh PTEM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad bersempena Karnival Khas Tingkatan 6 Peringkat Negeri Sabah 2025.

Menurut penganjur, aktiviti itu bukan sahaja menjadi medan pelajar memperoleh markah penilaian kokurikulum, malah memberi pengalaman berharga dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan.

“Program ini memperlihatkan kesungguhan pelajar untuk bersaing secara sihat, sambil meraikan nilai perpaduan yang menjadi teras kepada pembangunan modal insan,” kata seorang guru pengiring.

Acara turut diserikan dengan persembahan nyanyian duo oleh pelajar SMK Gunsanad, yang sebelum ini muncul juara Pertandingan Nyanyian Duo Peringkat Negeri Sabah 2025.
Pengetua SMK Gunsanad, Encik Haliman Narion, turut hadir dan melepaskan peserta bagi kategori lelaki serta perempuan, sekali gus menyemarakkan lagi suasana larian.

Dalam majlis penyampaian hadiah dan sijil yang disempurnakan Rafie, PTEM SMK Bingkor diumumkan sebagai Johan Keseluruhan. Naib Johan disandang oleh PTEM SMK Sook, manakala PTEM SMK Keningau berada di tempat ketiga.

Penganjuran Unity Run kali ini berjaya menonjolkan bukan sahaja semangat kesukanan dalam kalangan pelajar, tetapi juga membuktikan bahawa aktiviti seumpama ini mampu menjadi jambatan mempererat hubungan antara PTEM seluruh negeri Sabah.-pr/BNN