KENINGAU: Pembangunan bukan sekadar terletak pada batu dan simen, tetapi pada kasih dan kepedulian yang diterjemahkan untuk rakyat.
Semangat itu dizahirkan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) serta Perasmian Dewan Kampung Limbawan, di sini, semalam.
Majlis penuh bermakna itu membuktikan komitmen kerajaan negeri melalui Sabah Credit Corporation (SCC) dalam menyediakan prasarana komuniti yang lebih selesa, moden dan berfungsi, sekali gus memperkukuh kesejahteraan penduduk luar bandar.
Sejumlah 100 unit Rumah SMJ telah dan sedang disalurkan kepada penerima layak di kawasan Liawan bagi tempoh 2022 hingga 2025. Daripada jumlah itu, sebanyak 20 unit diagihkan pada 2022, 20 unit (2023), 20 unit (2024) dan 40 unit lagi pada tahun ini.
Annuar menegaskan, proses pemilihan dilakukan secara teliti bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat rumah berkenaan.
“Semoga rumah ini menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih baik — tempat berteduh yang penuh kasih sayang serta sumber kekuatan untuk memperbaiki taraf hidup keluarga masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau turut menyeru penerima agar memanfaatkan sepenuhnya inisiatif kerajaan tersebut dan memelihara kemudahan yang diberikan.
“Marilah kita pelihara kemudahan ini sebagai tanda syukur dan tanggungjawab bersama. Hanya dengan kebersamaan, pembangunan yang kita nikmati hari ini akan terus membawa kesejahteraan buat semua,” ujarnya.
Program penyerahan rumah serta perasmian dewan ini bukan sekadar simbolik penyampaian kunci atau pembinaan bangunan baharu.
Ia merupakan lambang nyata keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat luar bandar, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan seimbang, inklusif dan berasaskan rakyat.-pr/BNN