KOTA KINABALU; Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan pendirian mereka untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Dalam kenyataan bersama hari ini, ADUN berkenaan iaitu Datuk Ellron Angin, Datuk Robert Tawik @ Nordin, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub dan Datuk Flovia Ng menegaskan, keutamaan mereka adalah memastikan kestabilan politik negeri serta kesinambungan pembangunan di bawah kerajaan negeri sedia ada.

“Pada pandangan kami, kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang ada sekarang. Dengan demikian, kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kami,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti wajar dibincangkan secara teliti demi kepentingan rakyat dan negeri.

Justeru, mereka menegaskan akan kekal berdiri teguh bersama GRS dan mempertahankan kerusi masing-masing atas lambang gabungan itu sebagai tanda kesetiaan kepada mandat rakyat serta demi kestabilan Sabah.-pr/BNN