KENINGAU: Lebih 60 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Bengkel Pengacaraan Majlis anjuran Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) yang berlangsung di Ficus Hall, Taman Bandukan Riverside Resort, baru-baru ini.

Bengkel itu menampilkan pengacara profesional berpengalaman luas dalam bidang pengucapan awam dan pengendalian majlis rasmi, Encik Stanley Leo, sebagai tenaga pengajar utama.

Program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas serta kemahiran penting untuk mengacarakan pelbagai jenis majlis, termasuk majlis rasmi kerajaan dan program komuniti.

Majlis perasmian bengkel disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Encik Rafie Robert, yang menekankan kepentingan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri dalam melahirkan generasi muda yang berwibawa serta berkarisma.

“Penguasaan seni komunikasi bukan sahaja memberi kelebihan kepada individu, malah turut membuka ruang untuk mereka menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui penganjuran pelbagai program rasmi,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Sekretariat BMBR, Encik Garrett Patrick; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau, Encik Zaki Zakaria; serta Pengerusi Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau (GERAK KENINGAU), Encik Mohammad Khairi Mabin.-pr/BNN