KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, menggesa pihak berkuasa agar segera membina semula laluan pejalan kaki di Bukit Bendera yang kini terputus, selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

Menurutnya, laluan berkenaan merupakan akses penting yang menghubungkan penduduk Bukit Bendera ke pusat bandar, termasuk ke Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

Namun, laluan itu terjejas akibat kerja-kerja pengubahsuaian Menara Jam Atkinson serta pembinaan jejantas bertingkat, sehingga memaksa penduduk menggunakan laluan berbahaya atau menempuh jalan lencongan yang jauh lebih panjang.

“Saya dimaklumkan ada penduduk yang terpaksa memanjat tali untuk turun naik bukit. Ini jelas membahayakan keselamatan. Malah, ramai terpaksa mengambil jalan lain yang terlalu jauh dan menjejaskan rutin harian mereka,” katanya selepas meninjau lokasi berkenaan.

Yong berkata, pihak berkuasa terutama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu memastikan pembinaan semula laluan pejalan kaki itu dilaksanakan dengan reka bentuk yang lebih lengkap dan selamat, memandangkan kawasan tersebut terletak di cerun yang terdedah kepada risiko tanah runtuh.

Beliau menegaskan struktur jambatan perlu kukuh, memenuhi piawaian keselamatan serta dilengkapi sistem saliran yang baik bagi mengelakkan hakisan cerun.

Yong menekankan bahawa setiap projek pembangunan bandar harus mengimbangi kepentingan pelancongan dengan kemudahan awam supaya masyarakat setempat tidak terpinggir.

“Bukit Bendera bukan hanya tarikan pelancong, tetapi juga kawasan komuniti. Kita mahu ia kekal sebagai ruang awam yang selamat, mesra rakyat dan mudah diakses,” katanya.

Yong turut memberi jaminan bahawa SAPP akan terus memantau isu berkenaan dan menyelaras perbincangan antara penduduk dengan pihak berkuasa, bagi memastikan laluan pejalan kaki itu dapat dibina semula segera untuk kegunaan orang ramai.-pr/BNN