BINGKOR: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik Mansai, menzahirkan penghargaan penuh keinsafan dan rasa syukur kepada seluruh rakyat Bingkor atas sokongan serta kepercayaan sepanjang penggal beliau berkhidmat, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 pada Isnin.
Robert berkata, kepercayaan diberikan pengundi sejak lima tahun lalu menjadi sumber kekuatan utama dalam setiap langkah dan keputusan yang dilaksanakan demi kemajuan kawasan itu.
“Saya berterima kasih kepada semua pengundi di Bingkor atas kepercayaan yang telah diberikan. Jika ada perkara yang belum sempat saya laksanakan, saya mohon maaf.
Namun percayalah, setiap usaha yang dilakukan adalah untuk kemudahan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat Bingkor,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi beliau, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan di peringkat akar umbi termasuk pemimpin tempatan, Pejabat ADUN, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua Kampung serta Ketua Adat yang disifatkannya sebagai tulang belakang kejayaan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Tiada kejayaan yang datang daripada seorang pemimpin semata-mata. Ia lahir daripada semangat kebersamaan rakyat. Segala pencapaian yang kita lihat hari ini adalah hasil sokongan, doa dan kerja keras semua pihak,” katanya.
Dalam nada peribadi, Robert tidak melupakan penghargaan khusus kepada keluarga tersayang yang sentiasa memberi sokongan moral dan doa sepanjang beliau menggalas amanah sebagai wakil rakyat.
Beliau menegaskan bahawa semangat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) akan terus menjadi obor perjuangannya bagi memastikan pembangunan Bingkor terus bergerak ke hadapan dengan rakyat sebagai nadi utama.
“Saya percaya masa depan Bingkor lebih cerah apabila kita terus bersatu dan saling percaya. Inilah perjuangan kita — dari rakyat, untuk rakyat,” tegasnya.-pr/BNN