KENINGAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, terus menzahirkan komitmen terhadap pembangunan pendidikan di kawasan ini apabila menyumbang kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Keningau sempena program Lawatan Sambil Belajar murid Tahun Enam ke Kota Kinabalu pada 10 hingga 12 Oktober ini.

Sumbangan itu disampaikan menerusi wakil beliau, Pembantu Operasi Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Mohamad Raihan Jinode, dan diterima oleh Macella Limpuong, wakil Yang Dipertua PIBG SK Pekan Keningau.

Menurut pihak sekolah, sumbangan berkenaan akan digunakan bagi menampung kos perjalanan serta aktiviti pembelajaran luar bilik darjah, khususnya bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akhir tahun ini.

PIBG serta pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada Annuar atas keprihatinan beliau yang sentiasa memberi perhatian kepada aktiviti pendidikan di kawasan Liawan.

“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi tanda sokongan moral daripada seorang pemimpin yang benar-benar mengambil berat tentang masa depan anak-anak kita,” ujar wakil PIBG.

Langkah ini melengkapkan rekod Annuar sebagai antara pemimpin yang konsisten menyokong program sekolah dan kebajikan pelajar di seluruh DUN Liawan.

Ia sekali gus selaras dengan komitmennya untuk membangunkan modal insan serta memperkukuh nilai pendidikan dalam kalangan generasi muda.-pr/BNN