TAMBUNAN: Mantan Timbalan Pengerusi Parti Maju Sabah (SAPP) Tambunan, Geoffrey Yong bersama isterinya, Ervena Joan, mengumumkan keluar parti itu selepas lebih 30 tahun bersama, dan mengambil keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Keputusan bersejarah itu dibuat selepas beliau melihat perkembangan kepimpinan Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan, Datuk Victor P. Paut yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus mengubah haluan perjuangan politiknya.
“Saya bersama isteri memilih untuk menyertai PGRS kerana yakin dengan arah perjuangan yang dibawa oleh kepimpinan Victor. Beliau memberi nafas baharu dalam politik Tambunan,” katanya pada majlis penyerahan borang keahlian di sini, semalam.
Borang keahlian Geoffrey dan isterinya diterima oleh Naib Ketua Bahagian (NKB) PGRS Tambunan, Hussein Hassan dengan disaksikan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Sylvester Yapas, Aziz Banting serta barisan kepimpinan lain.
Langkah Geoffrey meninggalkan SAPP selepas tiga dekad bersama parti itu dilihat memberi isyarat sokongan baharu kepada PGRS di Tambunan, yang selama ini dikenali sebagai kubu kuat Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan yang telah meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama SAPP.
Tambunan kini menjadi medan persaingan politik sengit antara STAR yang dipimpin Jeffrey dengan pengaruh baharu yang bertapak, dan PGRS muncul sebagai kuasa baharu melalui kepimpinan Datuk Victor. Perkembangan mutakhir ini dijangka menambah warna baharu dalam landskap politik Tambunan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Dalam tempoh kepimpinannya, Victor aktif turun padang mendengar masalah rakyat di kampung-kampung, termasuk isu pembangunan luar bandar, prasarana asas, peluang ekonomi serta pendidikan generasi muda.
Pendekatan mesra rakyat dan kerja keras beliau membela masyarakat setempat dilihat menjadi faktor utama yang semakin menarik sokongan penduduk Tambunan kepada PGRS, sekaligus memberi isyarat bahawa Tambunan mahu membangun memerlukan pemimpin seperti Victor sebagai Wakil Rakyat.-pr/BNN