KENINGAU: Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh arah tuju serta membentuk identiti persatuan yang lebih tersusun dan berfokus, selaras dengan matlamat penubuhannya sebagai wadah memperkasa budaya dan kebajikan etnik di negeri ini.
Presiden KGNS, Puan Petronella Munting, berkata langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KGNS yang diadakan di Pexoholic Café, Bandar Baharu Keningau, baru-baru ini, dengan kehadiran barisan kepimpinan utama termasuk Timbalan Presiden, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik@Charles, Setiausaha Agung, Puan Umah Munting, dan Bendahari Agung, Puan Jovita Attap.
Menurut Petronella, setiap aktiviti dan perancangan KGNS perlu kembali kepada asas penubuhan persatuan — iaitu memperkukuh identiti etnik Kujau, Gana dan Nabai, selain memelihara perpaduan serta kebajikan komuniti.
“Kita perlu memastikan setiap program benar-benar mencerminkan semangat dan nilai etnik Kujau, Gana dan Nabai yang menjadi teras kepada KGNS. Inilah identiti kita, dan inilah kekuatan yang perlu diperkasa,” katanya.
Beliau menegaskan, tumpuan persatuan selepas ini akan lebih terarah kepada penganjuran aktiviti kebudayaan yang berimpak, pemantapan tadbir urus organisasi, serta usaha mendekati generasi muda agar nilai warisan tidak pupus dalam arus pembangunan moden.
Petronella turut menegaskan hasrat KGNS untuk berperanan sebagai jambatan antara generasi, dengan memberi ruang kepada golongan muda mendalami adat, bahasa dan kesenian tradisi etnik mereka.
“Melalui perpaduan dan kesedaran budaya, kita mampu membawa KGNS ke tahap yang lebih dihormati, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat etnik sendiri, tetapi juga sebagai contoh kepada persatuan etnik lain di Sabah,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden KGNS, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik@Charles, menyeru semua ahli agar terus bersatu di bawah satu bumbung dalam memperkukuh semangat persaudaraan dan kebersamaan.
Katanya, kekuatan KGNS bergantung kepada komitmen dan penglibatan aktif lebih 300 ahlinya di seluruh Sabah, yang menjadi tunjang utama kepada keberkesanan setiap perancangan dan program.
“Sokongan berterusan daripada semua ahli amat penting. Tanpa perpaduan dan kesepakatan, sukar untuk kita merealisasikan visi besar persatuan,” katanya.
Dengan hala tuju baharu yang lebih berfokus ini, KGNS yakin dapat memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasa identiti etnik Kujau, Gana dan Nabai, di samping menyumbang kepada usaha kerajaan negeri memperkukuh perpaduan dan warisan budaya masyarakat Sabah.-pr/BNN