KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meletakkan harapan kepada anak muda yang menjadi separuh daripada 1.72 juta pengundi di Sabah untuk membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Beliau berkata, anak muda wajar memberi peluang kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar mendapat mandat untuk meneruskan hala tuju pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Daripada 1.72 juta pengundi di Sabah, orang muda merangkumi separuh daripada itu, jadi saya harap mereka akan beri peluang kepada kerajaan kerana kita mempunyai hala tuju untuk membangunkan Sabah dan memajukan ekonomi.
“Kita juga mahu wujudkan kestabilan politik di Sabah dan kerana itulah saya katakan kita perlu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan meneruskan kerjasama GRS – Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Sejajar dengan itu, Hajiji meminta golongan muda di negeri ini agar tidak mensia-siakan peluang yang datang lima tahun sekali itu demi melakar masa depan Sabah yang lebih baik melalui kerajaan sedia ada yang dipimpinnya.
“Oleh itu buatlah pilihan terbaik dalam PRN17 yang akan diadakan tidak lama lagi, bagi menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
PRN kali ini adalah peluang keemasan kita untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat dan yang paling penting kerajaan yang didominasi oleh parti lokal,” katanya.
Beliau berkata, anak muda perlu bijak menilai apa yang dibuat oleh kerajaan dan menimbangkan dengan sebaik mungkin pencapaian yang dilakar sehingga kini dan mahu anak muda menjadi ejen untuk menjelaskannya kepada rakyat.
Hajiji juga menjelaskan mengenai kepentingan kerjasama GRS-PH dalam mewujudkan kestabilan politik di Sabah dan hubungan yang erat dengan kerajaan Persekutuan.
“Apa yang kita mahu ialah kita mahu maju dan kalau mahu maju, kita perlukan bantuan kerajaan Persekutuan, tapi ada pemimpin di Sabah, macam-macam fikiran mereka yang saya rasa merugikan Sabah pada masa depan.
“Kerana itu kita putuskan GRS-PH teruskan kerjasama, insyaAllah kita akan capai kejayaan dan saya harap anak muda gunakan kesempatan ini pilihlah kerajaan yang boleh dan mempunyai dasar jelas untuk membangun ekonomi dan majukan Sabah.
“Kita tidak boleh maju dari emosi semata-mata, cukuplah apa berlaku pada masa lalu. Selalu kita bandingkan kenapa kita ketinggalan dalam pelbagai bidang, sebab kita selalu gaduh tukar kerajaan. Tengoklah pembinaan Pan Borneo apabila kerajaan baharu ambil alih batalkan PDP hingga kita tertinggal empat tahun,” katanya.
Pada majlis itu Hajiji turut menyatakan harapan dan aspirasinya untuk negeri Sabah yang dipimpinnya sejak lima tahun lalu.
“Saya mahu Sabah ada kestabilan politik supaya kita dapat laksanakan program kerajaan, membangunkan ekonomi dan memikirkan program yang baik untuk anak muda.
“Kini semua ada di hujung jari kita dengan pelbagai teknologi baharu yang kita perlu kuasai kerana Sabah tidak boleh ketinggalan dalam apa juga kemajuan termasuk dalam bidang AI, TVET dan sebagainya.
“Tapi yang utama kita mesti bersatu padu, ada kestabilan, ada kerjasama antara negeri dan persekutuan, insyaAllah Sabah akan maju dan makmur,” katanya.-pr/BNN