KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman menegaskan bahawa asas kepada kepimpinan yang berkesan ialah kasih dan khidmat terhadap rakyat.

Menurutnya, seseorang pemimpin tidak akan mampu memimpin atau membantu rakyat jika tidak mempunyai rasa cinta dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada mereka.

“Kamu tidak akan mampu memimpin rakyat jika kamu tidak mencintai mereka. Dan kamu tidak akan mampu menyelamatkan rakyat jika kamu tidak berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Annuar berkata, kepimpinan bukan sekadar kedudukan atau panggilan hormat, tetapi perjalanan yang digerakkan oleh hati dan jiwa.

Beliau menekankan bahawa kasih terhadap rakyat menjadi asas setiap tindakan, manakala khidmat menjadi cara kepimpinan itu dizahirkan.

Beliau turut menambah bahawa pemimpin tidak perlu menonjolkan kasih atau khidmat mereka, sebaliknya biarlah kehadiran dan tindakan menjadi bukti.

“Kita tidak perlu berjanji untuk disayangi. Cukup kita berbuat kerana kita menyayangi,” ujarnya.

Annuar menjelaskan bahawa pendekatan mendekati rakyat melalui aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan adalah sebahagian daripada usaha beliau menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, beliau menegaskan komitmen untuk terus membawa kepimpinan berjiwa rakyat sebagai asas pembangunan Liawan yang mampan dan terancang.

“Liawan bukan sekadar sebuah DUN, tetapi sebuah rumah besar yang dibina atas kasih dan khidmat demi harapan bersama,” katanya.-pr/BNN