KENINGAU: TEKUN Nasional agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan pembiayaan sebanyak RM109 juta kepada 4,675 usahawan TEKUN di seluruh Sabah dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, Parlimen Keningau menerima sebanyak RM8.6 juta pembiayaan untuk 444 usahawan TEKUN bagi tempoh yang sama.
Beliau berkata, jumlah pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan TEKUN di Sabah tahun ini telah melepasi sasaran awal tahun 2025.
“Secara keseluruhannya, sejak ditubuhkan pada tahun 1998 hingga September 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM1.26 bilion kepada 67,248 usahawan di Sabah. Bagi Parlimen Keningau sahaja, sebanyak RM57.6 juta disalurkan kepada 2,904 usahawan dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Usahawan TEKUN Nasional di Dewan Tomuan Aki Taingadon, Tamu Pekan Bingkor, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kerajaan sentiasa meletakkan sektor usahawan kecil dan sederhana (PKS) serta industri mikro sebagai tunjang utama pembangunan ekonomi negara, khususnya di negeri ini yang kaya dengan potensi keusahawanan.
“Usahawan bukan sahaja menjana pendapatan untuk diri dan keluarga, malah membuka peluang pekerjaan serta menggerakkan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat” yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan komitmen kerajaan untuk tidak meminggirkan usahawan PMKS.
“Melalui belanjawan itu, pelbagai kemudahan dan jaminan pembiayaan bernilai RM2.5 bilion diperuntukkan kepada agensi termasuk TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi manfaat usahawan mikro,” katanya.
Katanya lagi, di bawah TEKUN Nasional sahaja, sebanyak RM550 juta diperuntukkan untuk kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil, termasuk RM50 juta khusus bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).
Dalam konteks pembangunan usahawan di Sabah, Ewon berkata KUSKOP dan agensinya termasuk TEKUN Nasional terus memperkenalkan pendekatan bersesuaian dengan sosioekonomi tempatan, antaranya Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang diwujudkan bagi membantu penjaja dan peniaga kecil di pasar tamu.
Sejak skim itu diperkenalkan pada tahun 2023 sehingga 5 September 2025, sebanyak RM9.8 juta telah disalurkan kepada 2,294 usahawan di seluruh Sabah.
“Ini bukti komitmen TEKUN Nasional memperkasa ekonomi rakyat melalui pembiayaan mikro, khususnya bagi komuniti luar bandar,” katanya.
Ewon menyeru agar lebih ramai usahawan tempatan, khususnya di Bingkor dan kawasan sekitar, merebut peluang untuk memohon pembiayaan di bawah pelbagai skim TEKUN seperti Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM) dan SPUT.
“Kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada modal, tetapi juga ilmu dan kemahiran keusahawanan. Sertailah program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh agensi di bawah KUSKOP,” katanya.-pr/BNN





