KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah seperti termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan medianya, KEADILAN Sabah menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan penting rakyat Sabah” selepas 48 tahun hak berperlembagaan itu tidak disemak semula sejak penubuhan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pengembalian hak 40 peratus bukan sekadar soal kewangan, tetapi lambang keadilan dan penghormatan terhadap semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah yang bakal dibentuk nanti segera duduk semeja dalam tempoh 90 hari seperti diperintahkan Mahkamah, bagi memastikan pelaksanaan sebenar bayaran khas 40 peratus ini,” jelas kenyataan itu.
KEADILAN Sabah turut menegaskan komitmen parti untuk menjadi suara rakyat dalam memastikan keadilan perlembagaan itu tidak lagi tertangguh akibat birokrasi atau politik kepartian.
Sebagai parti berteraskan reformasi, ketelusan dan tadbir urus baik, KEADILAN percaya pengembalian hasil itu akan memperkukuh keupayaan negeri melabur semula dalam pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta kebajikan rakyat Sabah — selaras dengan aspirasi Malaysia Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Parti itu juga berikrar untuk terus berdiri teguh bersama rakyat dan kepimpinan kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan pelaksanaan penuh hak Sabah di bawah MA63, termasuk semakan berkala pemberian khas 40 peratus hasil negeri.
“Harapan untuk Sabah bukan sekadar slogan — ia janji keadilan yang mesti ditunaikan,” tegas kenyataan itu.-pr/BNN