KOTA KINABALU: Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan

sebagai kemenangan bersejarah bagi seluruh rakyat Sabah yang sekian lama menuntut hak tersebut.

Presidennya, Briged Jeneral Kehormat (Rela), Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said, menegaskan keputusan tersebut juga membuktikan ketegasan dan kesungguhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam mempertahankan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukan sekadar kemenangan Sabah Law Society (SLS), tetapi juga kemenangan seluruh rakyat Sabah. Ia mengiktiraf keadilan yang lama tertangguh dan mengembalikan maruah negeri dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jerry berkata, tindakan SLS membawa perkara itu ke mahkamah dan ketegasan kerajaan negeri memperjelas rekod sejarah termasuk pertumbuhan hasil persekutuan dari Sabah sejak 1964 hingga 1968 merupakan langkah penting menegakkan hak negeri yang telah diabaikan hampir lima dekad.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan semula terhadap geran khas dalam tempoh 90 hari serta mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari menunjukkan bahawa hak Sabah kini diiktiraf secara sah dan perlembagaan.

“Kita juga harus berterima kasih kepada kepimpinan Hajiji yang sentiasa konsisten memperjuangkan isu ini dalam setiap Mesyuarat MA63 dan forum rasmi. Keberanian beliau menyuarakan tuntutan negeri menjadi asas kepada kemenangan ini,” katanya.

Jerry turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara agar tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu, sebaliknya menghormati semangat keadilan dan autonomi yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Sebarang cubaan untuk merayu atau melemahkan keputusan ini akan dianggap sebagai langkah mundur yang mencabar semangat pembentukan Malaysia. Sudah tiba masa hak Sabah tidak lagi dijadikan bahan rundingan politik,” katanya.

Beliau menambah bahawa keputusan itu bukan soal jumlah wang semata-mata, sebaliknya melibatkan maruah, keadilan dan penghormatan terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“Dengan hasil yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah, kerajaan negeri boleh memperkukuh pembangunan asas seperti bekalan air, eletrik, jalan raya, infrastruktur luar bandar dan melaksanakan pelbagai program dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat Sabah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Jerry turut membidas segelintir pemimpin politik, khususnya dari blok pembangkang, yang cuba menumpang kredit daripada kemenangan SLS ini untuk mempromosikan diri dan parti masing-masing.

“Jangan jadikan perjuangan perundangan ini sebagai alat politik untuk menonjolkan diri. Kemenangan ini hasil kerja keras SLS dan pendirian tegas kerajaan negeri pimpinan Hajiji— bukan hasil retorik politik yang datang kemudian,” katanya.

Beliau berkata tindakan seperti itu bukan sahaja tidak beretika, tetapi mencemarkan semangat perjuangan ikhlas rakyat Sabah yang sekian lama menuntut keadilan melalui saluran sah dan berhemah.

“Kita perlu menghormati peranan sebenar pihak yang berjuang dari awal, bukannya muncul selepas kemenangan untuk mengutip pujian,” tegasnya.

Menurut Jerry, kemenangan ini tidak harus dilihat sebagai pertembungan antara negeri dan persekutuan, tetapi sebagai kemenangan untuk memperkukuh semangat persekutuan yang sebenar.

“Apabila hak Sabah dihormati, perpaduan Malaysia juga akan lebih kukuh. Persekutuan yang adil ialah asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara,” tegasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat sivil, untuk bersatu dalam memastikan pelaksanaan keputusan mahkamah ini berjalan secara telus dan berkesan, tanpa sebarang penangguhan atau manipulasi birokrasi.

“Inilah masa untuk kita bersatu memastikan hak yang telah termaktub sejak 1963 benar-benar direalisasikan. Ini bukan sekadar kemenangan di mahkamah, tetapi kebangkitan semangat Sabah dalam Malaysia,” katanya.-pr/BNN