KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menegaskan pendirian parti untuk menggunakan logo ‘Kinabalu’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan logo Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya peringkat Parlimen.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan di peringkat PH Sabah.
“Untuk UPKO, keputusan itu (guna logo sendiri) kita buat di Sabah tetapi untuk rakan komponen seperti PKR dan DAP, walaupun kita sudah ada keputusan awal di Sabah tetapi mereka perlu merujuk dan mengadakan perbincangan lanjut mengenai keputusan mereka itu dengan kepimpinan tertinggi masing-masing di Kuala Lumpur.
“Saya menghormati tata kelola parti-parti dalam PH tapi untuk UPKO, apa yang telah diputuskan di PH Sabah sepertimana disyorkan oleh pengurusi PH iaitu Perdana Menteri pada Mei lepas, PH Sabah mempunyai autonominya untuk membuat ketetapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga, anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), di Le Meridien, di sini, hari ini.
Ewon berkata, keputusan parti itu mencerminkan keunikan politik Sabah serta autonomi PH Sabah dalam menentukan pendekatan terbaik bagi menghadapi pilihan raya negeri.
“Ini adalah satu keunikan politik Malaysia dan juga di Sabah yang harus mendapat pengiktirafan, persamaan dan penghormatan daripada semua rakan-rakan parti bukan hanya dalam gabungan tapi di luar parti.
“Sudah tentu rakan-rakan komponen memberi maklum balas dan pandangan mereka mengenai keputusan kita menggunakan logo sendiri tetapi sehingga hari ini UPKO masih kekal dengan keputusan itu.
“Untuk PRN kita akan guna logo Kinabalu dan untuk pilihan raya Parlimen, kita akan guna logo Harapan, ini yang telah kita sampaikan kepada rakan-rakan dalam PH Sabah,” katanya.
Ewon berkata, pada pilihan raya negeri 2022 di Johor, PKR guna logo sendiri manakala Amanah dan DAP menggunakan logo Harapan, maka tiada kejanggalan untuk UPKO menggunakan logo parti sendiri mewakili PH di kawasan yang ditandingi pada PRN ini.
“Saya yakin mereka memahaminya, kalau di Johor, keputusan itu boleh dibuat sedemikian, saya tidak melihat kenapa Sabah harus ada kelainannya,” katanya.
Mengenai rundingan pengagihan kerusi PH Sabah, Ewon berkata, walaupun sudah dimuktamadkan di peringkat PH Sabah tetapi, rakan-rakan parti dalam gabungan itu masih memerlukan perbincangan lanjut bersama kepimpinan tertinggi parti masing-masing di Kuala Lumpur.
“Apa yang dimuktamadkan itu hanya akan lebih jelas semasa penamaan calon dengan mengambil kira pengalaman-pengalaman sebelum ini, apa yang diputuskan itu boleh berlaku perubahan pada hari penamaan calon.
“Misalnya ada yang akan bertukar kerusi, ada yang akan bertukar calon, jadi saya boleh katakan, hari terakhir perundingan itu adalah pada hari penamaan calon.
“Saya lebih selesa, biar penamaan calon itu menjadi pengumuman calon itu sendiri. Berteka teki dalam banyak perkara ini pun sesuatu yang menarik juga kan, biar teka-teki ini sehingga penamaan calon.
“Soal manifesto PH Sabah, saya berharap kita dapt lancarkan serentak untuk PH Sabah,” katanya.-pr/BNN