KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyarankan agar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempertimbangkan penambahan sesi konvokesyen harian sepanjang tempoh konvokesyen berlangsung di universiti itu.
Jelas Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, saranan itu bagi mengelakkan peningkatan kos yang perlu ditanggung oleh pelajar dan ibubapa susulan penangguhan sehari program berkenaan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kami mencadangkan kepada UMS agar mempertimbangkan penambahan sesi konvokesyen harian sepanjang tempoh konvokesyen berlangsung.
“Dengan kaedah ini, UMS dapat mengejar semula jadual konvokesyen yang terpaksa dianjak tanpa perlu menambah bilangan hari konvokesyen, sekaligus mengelak peningkatan kos yang perlu ditanggung oleh pelajar dan ibubapa yang hadir dari seluruh negara”, ujar Abqaree dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abqaree turut mengingatkan semua pihak agar tidak memandang ringan isu tersebut kerana ia merupakan detik penting yang bersejarah bagi para pelajar dan ibubapa yang telah berkorban tenaga, masa, dan kewangan demi menjayakan konvokesyen berkenaan.
“Konvokesyen bukan sekadar majlis. Ia adalah penghormatan buat sebuah perjuangan dalam menegakkan kedaulatan ilmu.
“Kami ingin mengingatkan semua pihak agar tidak memandang remeh isu ini, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan komitmen tenaga, masa dan kewangan ibubapa dan pelajar-pelajar UMS”, Abqaree menambah. – pr/BNN





