PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Penampang dalam konvensyen parti itu hari ini mahu Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick mengundurkan diri dari Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah menerima 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri ini.

UPKO Penampang yang diketuai oleh Datuk Donald Peter Mojuntin meluluskan resolusi menyokong keputusan penghakiman ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) berkenaan dengan hak 40% tersebut.

Konvensyen tersebut juga meluluskan resolusi agar Kerajaan Persekutuan mematuhi keputusan penghakiman tersebut supaya persetujuan dapat dicapai dalam tempoh 180 hari berkenaan pembayaran hasil tersebut.

“Kami menyeru agar Presiden Parti, Datuk Ewon sebagai Wakil Rakyat Sabah dalam Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan undur mengundurkan diri dari kabinet Kerajaan Persekutuan sekiranya AGC memfailkan rayuan.

“UPKO akan bersolidariti dengan rakyat Sabah dan terus komited memperjuangkan hak rakyat Sabah sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan iaitu merupakan salah satu matlamat perjuangan Parti UPKO,” ujar Donald dalam ucapannya di Konvensyen tersebut.

Sementara itu, Ewon menyatakan beliau sebagai Presiden UPKO mempunyai tanggungjawab penuh ke atas resolusi-resolusi konvensyen parti.

“Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan rakan-rakan Jemaah Menteri sudah maklum dengan pandangan saya agar AGC tidak failkan rayuan. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan, saya akan sampaikan pandangan ini secara rasmi supaya direkodkan dalam mesyuarat.

“Saya juga bertanggungjawab penuh ke atas resolusi-resolusi konvensyen Parti UPKO yang selebihnya,” ujar Ewon semasa menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen tersebut.-pr/BNN