KENINGAU: Ketenangan yang sentiasa terpancar pada wajah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bukan sekadar sikap peribadi seorang pemimpin, tetapi mencerminkan kekuatan dan kebijaksanaan seorang pejuang politik yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan segala-galanya.
Di sebalik setiap langkah dan keputusan pentadbiran beliau, terserlah tiga nilai utama yang menjadi teras kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — sabar, kebijaksanaan dan keikhlasan. Tiga prinsip inilah yang terus menjadi nadi kepada kestabilan politik negeri sejak GRS mengambil alih tampuk pemerintahan.
“Beliau tidak berpolitik untuk diri sendiri, tetapi berjuang demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau daerah,” kata Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS Keningau Station, Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles.
Di bawah kepimpinan Hajiji, GRS berjaya muncul sebagai wadah penyatuan rakyat berbilang kaum di Sabah. Pendekatan beliau yang berhemah namun tegas dalam menghadapi cabaran politik negeri menjadikan GRS terus kukuh dan dihormati, bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat nasional.
Dalam suasana politik yang sering diuji dengan perpecahan dan perebutan kuasa, ketenangan Hajiji menjadi benteng yang meredakan gelora. Ia menjadi bukti bahawa perjuangan sejati tidak semestinya diukur melalui suara lantang, tetapi melalui keikhlasan dan kesungguhan untuk berkhidmat.
Katanya, Hajiji bukan sekadar tokoh politik, tetapi seorang pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa berpijak di bumi nyata. Keteguhan dan kesederhanaannya menjadikan beliau simbol harapan baharu — bahawa Sabah mampu terus melangkah maju tanpa mengorbankan maruah, perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang negeri ini.
“Dalam setiap senyum dan tutur katanya tersirat mesej jelas bahawa perjuangan untuk Sabah tidak memerlukan retorik besar. Cukup dengan keikhlasan dan tindakan nyata, itulah gaya kepimpinan Hajiji yang terus menambat hati rakyat Sabah”, katanya.-pr/BNN





