KENINGAU: “Tiada kejayaan datang daripada satu tangan sahaja. Setiap pencapaian yang kita lihat hari ini lahir daripada semangat teamwork,” demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, ketika menekankan pentingnya kesepakatan sebagai pemacu kemajuan kawasan itu.
Menurut beliau, kejayaan pembangunan di Liawan — daripada penambahbaikan jalan raya, baik pulih dewan, kestabilan bekalan air hingga pelaksanaan pelbagai program komuniti — adalah hasil budaya kerja berpasukan antara pemimpin, pegawai dan rakyat di lapangan.
“Kekuatan sebenar bukan terletak pada individu, tetapi pada kesatuan. Bila semua bergerak dengan satu hati dan tujuan yang sama, barulah hasilnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya selepas meninjau beberapa projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Annuar berkata, semangat kerjasama itu bukan sekadar slogan tetapi menjadi nilai utama dalam pentadbirannya di DUN Liawan, sama ada ketika membantu mangsa banjir, membaiki infrastruktur atau merancang projek pembangunan baharu.
Beliau turut menyeru agar nilai kesepakatan ini terus diperkukuh menjelang fasa pembangunan seterusnya yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat luar bandar, ekonomi tempatan dan kemudahan asas.
“Kita akan teruskan usaha ini dengan tekad yang sama — bekerja dengan jujur, ikhlas dan berpaksikan rakyat. Itulah kunci sebenar kemajuan Liawan,” tegasnya.
Dengan pendekatan kepimpinan berasaskan tindakan dan kolaborasi, Datuk Annuar terus dilihat sebagai simbol semangat berpadu tenaga — membuktikan bahawa teamwork truly makes the dream work bagi DUN Liawan.-pr/BNN





