KENINGAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menzahirkan penghargaan mendalam kepada komuniti Bugis, Jawa dan Bajau di Kampung Liawan atas sokongan padu yang ditunjukkan sempena Program Jelajah PRN17 DUN N.41 Liawan.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan masyarakat pelbagai etnik itu mencerminkan perpaduan dan kepercayaan kukuh rakyat terhadap kepimpinan serta perjuangan politik berteraskan kestabilan dan kemajuan bersama.

“Keberadaan anda semua adalah cerminan kepada semangat kebersamaan yang tidak ternilai. Sokongan padu ini membuktikan bahawa kita saling percaya dan bersatu untuk membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya dalam ucapan di majlis itu

Annuar menegaskan bahawa perjuangan beliau bersama rakyat Liawan akan terus berpaksikan kepada usaha memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai platform utama memperjuangkan pembangunan seimbang dan mampan di kawasan luar bandar.

Beliau optimis bahawa dengan kepercayaan dan kerjasama erat semua lapisan masyarakat, Liawan akan terus maju seiring dengan agenda pembangunan negeri Sabah.

“Kepercayaan yang anda berikan adalah kekuatan kami. Perpaduan yang kita miliki adalah senjata utama untuk memastikan Liawan terus maju dalam landskap politik dan pembangunan negeri,” katanya.

Sebagai peneraju utama di DUN Liawan, Annuar turut berikrar untuk meneruskan perjuangan memperkasa ekonomi tempatan, membuka lebih banyak peluang keusahawanan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan itu.

Beliau berkata, setiap dasar dan inisiatif akan terus digerakkan dengan tujuan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Kita akan terus bergerak maju dengan penuh keyakinan, memastikan setiap usaha membawa manfaat kepada semua,” tegasnya.-pr/BNN