KENINGAU: Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17, suasana politik di Bingkor dan Liawan mula panas dengan kempen berasaskan sentimen, khususnya daripada pihak yang dilihat kehabisan modal hujah dan rekod kerja.
Pemerhati politik tempatan, Clifford Spencer, berkata taktik memainkan emosi rakyat sering digunakan apabila sesuatu pihak tidak mampu menjawab persoalan berasaskan fakta.
“Apabila teguran dianggap serangan, itu tanda ada sesuatu yang cuba disembunyikan,” katanya.
Sebaliknya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menumpukan kepada rekod pencapaian serta pelaksanaan dasar yang terbukti membawa manfaat kepada rakyat.
GRS memilih untuk menunjukkan hasil melalui projek siap, peruntukan sampai, dan perubahan yang dapat dirasai masyarakat – bukan sekadar retorik.
Tuduhan bahawa projek pembangunan hanya hasil kerja kontraktor disifatkan dangkal kerana kontraktor hanyalah pelaksana, manakala usaha meluluskan bajet, membawa cadangan dasar dan memastikan kelulusan teknikal adalah kerja kepimpinan.
Antara dasar jelas yang memberi kesan besar ialah Program Rumah Mesra SMJ, yang disalurkan kepada golongan benar-benar layak.
Menafikan peranan GRS dalam inisiatif ini hanya memperlihatkan pihak yang tidak pernah memperjuangkan dasar rakyat tetapi pantas menuntut kredit di media sosial.
Tuduhan seperti “GRS mesra parti Malaya” atau “parti rasuah” turut dilihat sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada ketiadaan rekod prestasi. Bezanya, penyokong GRS berhujah menggunakan data dan rekod, bukan emosi atau naratif separuh benar.
Rakyat di Bingkor dan Liawan kini lebih matang menilai – mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja di lapangan dan siapa yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
Akhirnya, sejarah hanya mengenang dua jenis pemimpin – yang bekerja dan yang berdrama – dan rakyat di Bingkor serta Liawan semakin tahu membezakan antara keduanya.-pr/BNN





