KENINGAU: Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau Station, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menggunakan nama Datuk Robert Tawik untuk mengeluarkan kenyataan palsu bagi mengelirukan rakyat dan penyokong politik di Sabah.
Beliau menegaskan, tindakan memanipulasi nama mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu jelas bermotif jahat dan boleh menggugat keharmonian politik negeri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah akan datang.
“Saya menyokong penuh kenyataan Robert Tawik yang menafikan sekeras-kerasnya kenyataan palsu yang menggunakan namanya tanpa kebenaran. Perbuatan ini bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli STAR dan penyokong GRS, malah menunjukkan sikap tidak beretika sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yazid turut menjelaskan bahawa Robert telah menarik diri daripada STAR dan memilih untuk terus kekal menyokong GRS. Oleh itu, katanya, sebarang seruan atau kenyataan beliau supaya penyokongnya bersama GRS adalah selaras dengan pendirian politik semasanya.
“Sebagai penyokong GRS, Datuk Robert berhak menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan di bawah pentadbiran GRS,” tegasnya.
Dalam pada itu, Yazid menyeru semua pihak agar menghormati keadaan kesihatan Robert yang kini masih dalam proses pemulihan dan tidak membebankan beliau dengan tekanan politik.
“Beliau tidak wajar dijadikan alat permainan politik. Saya berharap semua pihak memberi ruang kepada Robert untuk terus menyumbang kepada negeri melalui landasan politik yang beliau pilih,” ujarnya.
Yazid menasihatkan agar mana-mana individu yang ingin bersuara dalam hal politik negeri berbuat demikian atas nama sendiri dan bukan dengan berlindung di sebalik nama pemimpin lain.
“Jika ingin bersuara, lakukanlah dengan jujur atas nama sendiri, bukan memanipulasi nama orang lain demi kepentingan politik peribadi,” katanya.
Beliau menegaskan, keamanan dan kestabilan politik Sabah perlu dipelihara agar rakyat dapat terus menikmati pembangunan yang dirancang di bawah kerajaan GRS.
Semalam, Robert mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab telah mengeluarkan kenyataan media menggunakan namanya tanpa kebenaran dan disebarkan kepada media dan orang ramai.
Robert menafikan perkara tersebut berkata, “kenyataan itu adalah palsu dan langsung tidak mewakili pendirian saya. Saya kekal menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)”.
Robert mengulangi seruannya kepada ahli dan penyokong STAR Sabah agar terus memberi sokongan kepada GRS di bawah pimpinan Hajiji, demi mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negeri pada PRU DU Sabah.-pr/BNN





