KENINGAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya menjadikan hasil kerja dan pencapaian nyata sebagai manifestonya kepada rakyat.
Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, kerajaan GRS berjaya melaksanakan pelbagai dasar yang terbukti berkesan, termasuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Sabah — satu pencapaian yang tidak sekadar retorik politik.
Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada 2022 menjadi antara contoh keberkesanan dasar GRS. Bermula dengan 20 unit rumah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), program itu kini meningkat kepada 40 unit pada tahun 2025, dan dijangka bertambah kepada 50 unit tahun depan.
Menariknya, 10 unit daripada jumlah itu akan diperuntukkan kepada pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga — inisiatif yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Pengarah Komunikasi Parti Cinta Sabah (PCS) Bahagian Bingkor, Clifford Spencer, berkata usaha GRS jauh mengatasi pencapaian kerajaan terdahulu yang hanya mampu menyalurkan antara enam hingga 10 unit rumah bagi setiap DUN.
“Untuk pertama kali dalam sejarah, bantuan rumah percuma diberikan dalam jumlah yang jauh lebih besar — empat hingga lima kali ganda berbanding kerajaan sebelumnya. Malah, sebelum ini bukan sahaja bantuan rumah gagal dilaksanakan, ekonomi negeri juga semakin merosot,” katanya.
Clifford menegaskan, kejayaan ini membuktikan kecekapan GRS dalam mentadbir kewangan negeri serta kemampuan kepimpinan Hajiji mengurus pembangunan secara menyeluruh.
Katanya, GRS bukan sekadar berjanji, tetapi membuktikan komitmen melalui tindakan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Rakyat tidak harus terpedaya dengan janji manis atau retorik politik. Apa yang penting ialah bukti nyata. GRS telah membuktikan keupayaan mereka untuk membina Sabah yang lebih makmur dan inklusif,” ujarnya.-pr/BNN





