KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak hasil bersih 40 peratus kepada Sabah sebagai langkah besar yang mampu memacu pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta memperkukuh kestabilan politik negeri.
Menurutnya, keputusan itu bukan berlaku secara kebetulan atau kerana tekanan politik menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17, tetapi hasil daripada kesedaran terhadap kebangkitan rakyat Sabah yang sekian lama menuntut hak termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sejak pembentukan negara lebih setengah abad lalu.
“Keputusan besar Kerajaan Pusat ini bukanlah berlaku secara kebetulan mahupun paksaan. Ia lahir daripada kesedaran terhadap tuntutan ikhlas rakyat Sabah yang menuntut hak mereka dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah berkata, pengembalian hak 40 peratus itu tidak dapat dipisahkan daripada kebijaksanaan gerak kerja serta ketajaman diplomasi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang konsisten memperjuangkan kepentingan negeri melalui pendekatan berhemah dan berstrategi.
“Sesungguhnya kebijaksanaan gerakerja dan ketajaman diplomasi Hajiji sejak menerajui kepimpinan Sabah merupakan faktor besar mengapa isu hak 40 peratus mendapat perhatian daripada Kerajaan Pusat,” jelasnya.
Beliau menegaskan, meskipun Ketua Menteri tidak pernah menjanjikan perkara itu secara terbuka, namun usaha berterusan dan langkah tersusun yang digerakkan oleh beliau serta kerajaan GRS-PH Plus akhirnya membuahkan hasil yang menjadi dambaan rakyat Sabah selama ini.
Aksyah menambah, hasil pengembalian 40 peratus itu akan memberi nafas baharu dalam menjayakan pelbagai agenda pembangunan negeri yang dirangka di bawah Halatuju SMJ 2.0, khususnya dalam memperkukuh ekonomi, kebajikan rakyat dan kesejahteraan luar bandar.
“Dengan hasil 40 peratus dikembalikan, maka akan menjadi lebih mudah untuk kita mencapai segala agenda yang telah dirancang di dalam Halatuju SMJ 2.0 kelak,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah supaya terus mengekalkan kepercayaan kepada kerajaan pimpinan GRS yang telah membuktikan keupayaan mencipta kejayaan dalam tempoh singkat.
“Kekalkan parti GRS yang telah banyak mencipta kejayaan selama memerintah dalam tempoh yang singkat. Inilah masa untuk kita bersatu memastikan kestabilan dan kemajuan Sabah terus terpelihara,” tegasnya.-pr/BNN





