TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah meletakkan asas kukuh melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 untuk memacu Sabah menjadi sebuah negeri yang unggul dan disegani di negara ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita memerlukan mandat baharu daripada rakyat supaya kita dapat meneruskan perancangan untuk menjadikan Sabah setanding dengan negeri-negeri lain, jika yang terbaik di negara ini,katanya pada perjumpaan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik di sini, hari ini.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS serta calon bagi DUN Sulaman, berkata sepanjang lima tahun lalu kerajaan negeri pimpinan GRS telah mencapai banyak kejayaan melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.
“Dalam pilihan raya ini, rakyat perlu mengundi dengan bijak. Kita tidak boleh silap memilih kerajaan negeri yang akan datang. GRS mempunyai agenda yang jelas, perjuangan kita jelas. Dan kita telah membuktikan kemampuan kita.
“Kita mengutamakan pembangunan rakyat, kita berjuang meningkatkan taraf hidup golongan miskin serta pendidikan anak-anak Sabah. Bermula tahun ini, kita telah memberikan RM300 sebulan kepada kira-kira 100,000 ketua isi rumah miskin tegar dalam senarai e-Kasih. Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Kita juga menyediakan rumah percuma kepada golongan memerlukan melalui Rumah Mesra SMJ. Dahulu, Sabah hanya menerima sekitar empat unit rumah PPRT bagi setiap kawasan DUN, namun melalui program Rumah Mesra SMJ, kita memberikan 40 rumah bagi setiap DUN,” katanya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah menyelesaikan masalah legasi seperti air dan elektrik, melalui pembinaan 18 loji rawatan air baharu di seluruh negeri dan pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, antaranya.
Dalam aspek pendidikan, beliau menegaskan Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.3 bilion bagi membangunkan modal insan, yang merupakan salah satu teras Hala Tuju SMJ.
“Kami bukan kerajaan yang hanya tahu bercakap, menipu dan menjanjikan bulan dan bintang. Mereka (pembangkang) pernah berada dalam kerajaan sebelum ini, malah ada yang menjadi pemimpin di peringkat Persekutuan. Tetapi apa yang mereka lakukan sepanjang tahun-tahun itu?
“Kini mereka mengatakan kita kerajaan gagal. Tetapi siapa sebenarnya yang gagal? Mereka. Mereka pernah menjadi menteri Persekutuan selama bertahun-tahun, tetapi gagal menyelesaikan masalah di Sabah.
“Kita mewarisi pelbagai isu legasi seperti air, elektrik dan infrastruktur, tetapi bezanya ialah kita mencari penyelesaian dan mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 kali ini adalah unik kerana tidak pernah berlaku sebelum ini jumlah calon begitu ramai, dengan hampir 596 orang bertanding bagi 73 kerusi.
“Tidak mengapa, ini demokrasi. Tetapi saya yakin rakyat akan mengundi dengan bijak memilih parti yang mempunyai rekod pencapaian terbukti,” katanya.
Ketika ditemui kemudian, Hajiji berkata jentera pilihan raya GRS Sulaman yang berjumlah 2,500 orang berada dalam keadaan baik dan bersedia menghadapi pilihan raya.
“Seperti yang saya katakan tadi saya mahu mereka turun padang untuk bertemu dan menerangkan sumbangan, pencapaian dan perancangan GRS kepada semua pengundi,” katanya, sambil menambah beliau percaya jentera pilihanraya ini akan menyumbang kepada kejayaan GRS di kawasan Sulaman.
Arahan yang sama turut diberikan kepada jentera parti di kawasan-kawasan lain, katanya.-pr/BNN





