KENINGAU: Calon penyandang DUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menegaskan kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terletak pada kerjasama teguh dalam kalangan parti komponennya, menjelang hari pengundian pada 29 November ini.

Annuar berkata, sepanjang lima tahun memikul amanah rakyat, kejayaan yang dicapai bukan hasil usaha seorang individu tetapi hasil kesatuan jentera GRS yang sentiasa konsisten di lapangan.

“Saya amat menghargai sokongan semua rakan komponen,” katanya sambil merakam penghargaan kepada Datuk Azman Hj Ruslan (PGRS), Datuk Jake Nointin (USNO), Datuk Mazlan Hj Latiff (PCS), Zachary Kinsik (PBS) dan Clayrence Lee (PHR Sabah) yang disifatkannya sebagai tulang belakang kempen di Liawan.

Annuar menegaskan politik hari ini menuntut rekod kerja, bukan retorik.

Beliau berkata segala pembangunan di Liawan selama ini adalah hasil kerja berterusan yang dirasai rakyat.

“Ini ladang amanah. Setiap tindakan kita menjadi warisan kepada generasi Keningau,” katanya sambil menambah bahawa rakyat sudah matang menilai antara pemimpin yang bekerja dan yang hanya muncul ketika berkempen.

Beliau menyifatkan kerjasama erat komponen GRS sebagai faktor pengukuh jentera kempen, menjadikannya lebih tersusun dan bersedia menghadapi hari pengundian.

Pendekatan turun padang dari kampung ke kampung, katanya, membina “jambatan kasih” antara pemimpin dan rakyat — hubungan yang perlu dipertahankan untuk memastikan suara rakyat terus sampai ke pihak pentadbiran.

Annuar berkata 29 November merupakan penentu kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang penggal ini.

“Kita melangkah bukan hanya sebagai calon GRS, tetapi sebagai anak Keningau yang mahu melihat tanah ini terus maju dan bersatu,” katanya sambil menyeru jentera GRS mengekalkan disiplin dan semangat sehingga hari terakhir kempen.

“Terima kasih atas kepercayaan rakyat. Kita melangkah bersama — dan bersama kita akan menang. GRS akan menang lagi kerana rakyat tahu siapa yang bekerja dan siapa yang mendengar”, tegasnya.-pr/BNN