KENINGAU: Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, menyeru pengundi DUN Liawan agar keluar beramai-ramai esok dan memilih pemimpin yang terbukti bekerja, bukan yang hanya muncul ketika pilihan raya.

Beliau menegaskan rekod perkhidmatan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Annuar Ayub Aman, adalah yang paling konsisten dan berkesan dalam memajukan Liawan.

“Rekod kerja Annuar bukan retorik — ia tindakan yang rakyat sendiri nampak dan rasa,” katanya.

Anthony, yang juga Presiden Persatuan Hakka Keningau, berkata sokongan anak muda sepanjang tempoh kempen jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Annuar serta hala tuju GRS.

“Saya berharap momentum sokongan ini diterjemahkan menjadi undi esok. Anak muda harus menilai berdasarkan apa yang sudah dibuat, bukan janji sementara,” tegasnya.

Antara 5 tahun prestasi Annuar ialah penambahbaikan infrastruktur asas, tindakan pantas dalam bantuan bencana, penyelesaian isu setempat secara berterusan, pengukuhan hubungan dengan komuniti Tionghua, pemerkasaan ekonomi dan peluang perniagaan tempatan dan lain-lain.

Anthony turut menekankan bahawa rekod ini membuktikan kemampuan Annuar mengurus keperluan rakyat secara berkesan.

Mengukuhkan lagi hubungan dengan masyarakat, Annuar mewujudkan WhatsApp Group A3-N41, yang kini menghimpunkan 951 ahli sebagai saluran aduan, perbincangan dan tindakan segera melibatkan komuniti Cina, peniaga, belia serta pegawai agensi kerajaan.

Anthony memuji inisiatif itu sebagai bukti kepimpinan berasaskan tindakan.

“Langkah ini tidak pernah wujud sebelum ini. Ia membuktikan keprihatinan dan komitmen beliau kepada rakyat,” katanya.-pr/BNN