KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mendahului barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Dewan Mesyuarat DUN Sabah, pada Khamis.

Upacara itu berlangsung di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M.Yahya.

Selepas Hajiji, majlis diteruskan dengan barisan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri serta para menteri kabinet negeri mengangkat sumpah, diikuti Ketua Pembangkang, barisan Pembantu Menteri dan keseluruhan ADUN dipilih yang lain.

Turut mengangkat sumpah ialah enam ADUN dilantik, iaitu Datuk Mohamed Razali Razi, Datuk Abdul Kassim Razali, Datuk Caesar Mandela Malakun, Datuk Ir Chin Shu Ying, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Puan Grace Lee Li Mei.

Sementara itu, pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2026 oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, dijadualkan berlangsung pada esok (Jumaat).-pr/BNN