KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita dari China cedera selepas dipercayai terkena objek yang ditembak dari sebuah kenderaan bergerak di Jalan Kota Kinabalu Lama 2 berhampiran Public Bank, malam semalam.

Menurut polis, suspek didakwa menggunakan bebola bersaiz marmar dan mensasarkan pelancong dari China. Lima insiden dilaporkan berlaku pada malam tersebut, namun hanya tiga laporan rasmi dibuat setakat ini.

Kejadian berlaku di tiga lokasi sekitar bandar raya: di hadapan Public Bank, di hadapan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta berhampiran bulatan KK Bataras. Polis kini sedang mengesan saksi, pemilik dashcam dan menjejaki suspek yang dilaporkan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Siasatan mendapati sebahagian besar kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bandar tidak berfungsi.

Buat masa ini, polis bergantung pada rakaman CCTV Public Bank di Jalan Pantai bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara cuai.

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah memaklumkan bahawa pihaknya memantau rapat perkembangan kes melalui kerjasama dengan polis.

Kementerian menegaskan komitmen memastikan keselamatan pelancong, khususnya pelancong asing, serta berharap pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan termasuk memastikan semua CCTV berfungsi dan memperkukuh rondaan polis.

Langkah segera amat penting bagi menjamin keselamatan awam serta mengekalkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat.BNN