KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris untuk membatalkan “Anugerah Akhir” bernilai AS$14.9 bilion daripada pihak yang menggelarkan diri mereka penuntut Sulu sebagai satu keputusan muktamad dan kemenangan besar bagi Malaysia.

“Saya menyatakan sebelum ini, kita akan mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, dan kita tidak akan sesekali melayan tuntutan sedemikian.

“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu sekali lagi membuktikan pendirian Sabah selama ini,” katanya sebagai reaksi kepada kenyataan Bilik Gerakan Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia, hari ini.

Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa pemegang timbang tara, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan “Anugerah Akhir” tersebut dan mendapati tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.

Kerajaan Negeri Sabah menegaskan semula komitmennya untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi membatalkan sebarang tuntutan di masa hadapan.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah,” kata Ketua Menteri. – pr/BNN