KOTA KINABALU: Keputusan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, untuk mempertimbangkan agar GRS tidak menghantar calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan DUN N.59 Lamag disifatkan sebagai langkah tepat demi menjamin kestabilan politik negeri.
Aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah, berkata pendirian itu wajar memandangkan Kerajaan Perpaduan Sabah yang baharu sahaja dibentuk hasil kerjasama GRS bersama Barisan Nasional (BN) pada 30 November lalu, sekali gus memerlukan suasana politik yang tenang dan stabil.
“Keputusan ini amat tepat kerana kerajaan perpaduan yang dibentuk masih berada pada fasa awal dan memerlukan kesepakatan antara rakan gabungan bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Aksyah, langkah memberi laluan kepada BN dalam PRK berkenaan bukan bermakna GRS mengalah atau berundur secara mutlak, sebaliknya satu pendekatan strategik yang bergantung kepada situasi politik semasa.
“Ini bukan keputusan selama-lamanya. Kerajaan hari ini bukan terbina atas kerjasama politik jangka panjang, tetapi gabungan blok politik Sabah untuk membentuk kerajaan negeri. Maka, pertimbangan politik perlu dibuat secara berhemah,” katanya.
Beliau turut menyifatkan cadangan Hajiji itu sebagai tindakan berundur setapak bagi memberi penghormatan, khususnya susulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, yang meninggalkan kesan besar dalam landskap politik negeri.
Dalam masa sama, Aksyah menegaskan pembentukan Kerajaan Perpaduan GRS Plus menunjukkan keutamaan Hajiji kini adalah memastikan kestabilan politik Sabah, manakala pembentangan Belanjawan Sabah 2026 pula menjadi platform penting untuk melaksanakan manifesto dan janji kepada rakyat.
“Keadaan politik yang tenang amat diperlukan ketika ini supaya halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan seperti dirancang. Fokus kerajaan harus diberikan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat, bukan polemik politik,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah menegaskan cadangan Pengerusi GRS berkenaan wajar disokong semua pihak demi kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah.-pr/BNN





