KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan kehadiran empat juta pelancong sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.
Menurutnya, prestasi pelancongan Sabah pada tahun lalu amat memberangsangkan apabila negeri itu berjaya merekodkan 3.6 juta pelawat, melepasi sasaran awal sebanyak 3.5 juta pelawat.
Pencapaian tersebut, katanya, menjadi pemangkin keyakinan kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun-tahun mendatang.
“Sabah mempunyai kekuatan tersendiri. Keindahan alam semula jadi kita, daripada pantai yang luas dan laut yang bersih hinggalah ke hutan dan pergunungan, kekal sebagai aset utama negeri ini,” katanya.
Antara tarikan utama yang terus menjadi tumpuan pelancong antarabangsa ialah Gunung Kinabalu, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Banjaran Crocker, serta destinasi marin seperti Semporna yang terkenal dengan perairan jernih dan kepelbagaian biodiversiti marin.
Beliau turut menekankan kepentingan Sukau sebagai destinasi ekopelancongan unggul, khususnya melalui aktiviti pelayaran sungai dan pemerhatian hidupan liar.
Sukau sebelum ini menerima pengiktirafan antarabangsa hasil kejayaan usaha pemuliharaan berasaskan komuniti yang menyeimbangkan kelestarian alam dan sumber pendapatan penduduk setempat.
“Pelancong dari Eropah dan Jepun sudah pun mengunjungi Sukau. Pada masa hadapan, kita mahu lebih ramai pelancong tempatan turut merasai pengalaman unik yang ditawarkan di sana,” katanya.
Mengulas isu pengurangan laluan penerbangan, termasuk penutupan beberapa laluan AirAsia ke Kota Kinabalu, Datuk Jafry berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan syarikat penerbangan dan tidak menjejaskan pertumbuhan jangka panjang sektor pelancongan Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek keselamatan pelancong kekal sebagai keutamaan kerajaan negeri, termasuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) serta peningkatan infrastruktur asas.
“Kami memandang serius soal keselamatan. Pelancongan bukan sahaja perlu menyeronokkan, tetapi juga selamat dan terjamin,” katanya.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau menyatakan keyakinan bahawa Sabah akan terus memainkan peranan penting sebagai antara hab pelancongan utama negara.
“Saya yakin Sabah mampu mencapai sasaran empat juta pelawat. Kami bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.-pr/BNN





