CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum dan memandang serius aduan orang awam berhubung penyalahgunaan alat kecerdasan buatan (AI) di platform X, termasuk penggunaan AI untuk memanipulasi imej wanita dan kanak-kanak bagi menghasilkan kandungan yang tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan.
MCMC menegaskan bahawa penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), yang antara lainnya melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan yang berunsur jelik melampau, lucah atau sumbang.
MCMC akan memulakan siasatan terhadap pengguna X yang disyaki melanggar AKM.
Dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), platform dalam talian dan penyedia perkhidmatan berlesen dikehendaki mengambil langkah bagi mencegah penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian, termasuk kandungan lucah, tidak senonoh serta bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Walaupun X bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini, platform tersebut tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan.
MCMC kini sedang menyiasat kemudaratan dalam talian yang berlaku di X dan akan memanggil wakil platform berkenaan.
MCMC menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang Malaysia 1dan piawaian keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej.
Pengguna Internet dan mangsa dinasihatkan untuk melaporkan kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian MCMC.KOMUNIKASI KORPORAT MCMC-pr/BNN





