KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menggesa golongan muda supaya menerokai bidang perniagaan melalui francais yang terbukti berdaya maju dan mampan.
Beliau berkata, ini kerana melalui francais, usahawan muda turut mendapat bimbingan, latihan berterusan dan sokongan pemasaran daripada syarikat induk, sekali gus membantu mereka membina perniagaan dengan lebih cepat dan mampan.
“Saya berbangga melihat anak-anak muda berkecimpung dalam sektor francais di mana dua daripada tiga rakan kongsi francaisi SugarBun Express Inanam baru berusia 26 tahun, telahpun menjadi pencipta pekerjaan kepada 10 pekerja di outlet ini.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa perniagaan francais mempunyai potensi besar. Oleh itu, saya mengalu-alukan penglibatan lebih ramai usahawan muda untuk menceburi sektor ini, khususnya melalui jenama tempatan yang telah berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pembukaan rasmi SugarBun Express di EG Mall, Inanam, hari ini.
Ini merupakan outlet ke-165 SugarBun di seluruh negara dan syarikat ini merancang untuk membuka 40 lagi outlet baharu yang seterusnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ewon menegaskan bahawa kerajaan negeri dan Persekutuan mempunyai pelbagai inisiatif sokongan bagi membantu perkembangan industri francais, termasuk pembiayaan, latihan dan bimbingan keusahawanan.
“Kerajaan sentiasa komited memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.
“Model francais adalah antara platform terbaik untuk golongan muda memulakan perniagaan dengan lebih tersusun,” katanya.
Beliau berharap SugarBun akan terus berkembang sebagai jenama francais kebanggaan Sabah, bukan sahaja di seluruh negara malah ke peringkat antarabangsa.-pr/BNN





