SELANGOR: Kerajaan MADANI terus memperkukuh jaminan keterjaminan makanan negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merasmikan Majlis Pensijilan Halal Gula Rahmah di sini, semalam.

Majlis perasmian tersebut menandakan pengiktirafan rasmi terhadap produk Gula Rahmah yang telah memenuhi keperluan kebersihan serta pematuhan halal, selain mematuhi piawaian kawal selia yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pegawai Eksekutif HMBE Legacy Sdn Bhd, Ahmad Badurol Hisham Mukhatar, berkata pensijilan halal itu merupakan elemen penting dalam meningkatkan keyakinan pengguna terhadap rantaian bekalan gula negara, khususnya bagi pasaran domestik.

Menurutnya, pensijilan tersebut memberi jaminan bahawa Gula Rahmah bukan sahaja dikawal dari aspek bekalan dan pengedaran, malah memenuhi keperluan asas kebersihan dan halal yang menjadi keutamaan rakyat.

Beliau berkata, Gula Rahmah membuktikan bahawa bekalan gula mampu ditawarkan kepada pengguna tanpa sebarang subsidi kerajaan, namun masih boleh dijual pada harga di bawah pasaran semasa, iaitu RM2.70 sekilogram.

“Inisiatif ini dilaksanakan sepenuhnya tanpa subsidi kerajaan, selari dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup,” katanya kepada media selepas majlis tersebut.

Tambah beliau, buat masa ini, penjualan Gula Rahmah dilaksanakan secara terhad menerusi Jualan Rahmah Bergerak yang diselaraskan oleh kementerian bagi memastikan pengedaran terkawal dan tertumpu kepada kumpulan sasaran.

Pada masa sama, beliau berharap agar inisiatif itu dapat dipertimbangkan untuk diperluaskan secara lebih menyeluruh ke pasaran domestik supaya lebih ramai rakyat di seluruh negara berpeluang menikmati bekalan gula pada harga di bawah harga kawalan.

Beliau berkata, peluasan pengedaran Gula Rahmah berpotensi menjadi antara mekanisme berkesan dalam menangani isu kos sara hidup, khususnya bagi barangan keperluan asas yang digunakan secara harian.

Majlis berkenaan turut mempamerkan produk Gula Rahmah yang akan diagihkan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.

Gula Rahmah dilihat sebagai langkah progresif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tadbir urus industri makanan serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.-pr/BNN