KENINGAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah yang menegaskan bahawa istilah ‘bukan warganegara’ dalam data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak boleh disamakan secara langsung dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ketua GRS PDM Keningau Station, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik@Charles, berkata tafsiran longgar dan bersifat politik terhadap data rasmi berkenaan hanya mengelirukan rakyat serta membentuk persepsi tidak tepat mengenai kedudukan sebenar warga asing di Sabah.

Menurut beliau, seperti yang dijelaskan Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, kategori bukan warganegara dalam statistik DOSM merangkumi Pendatang Asing Dengan Izin (PADI), termasuk pekerja asing berpermit sah, pelajar antarabangsa, pemegang pas kerja sementara serta tanggungan, dan bukannya merujuk secara eksklusif kepada PATI.

“Rakyat perlu diberikan penjelasan berfakta dan tepat, bukan gambaran sensasi yang menyamakan semua bukan warganegara sebagai pendatang haram. Pendekatan sebegini bukan sahaja mengelirukan, malah tidak membantu menyelesaikan isu sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yazid berkata peningkatan angka bukan warganegara di bandar utama seperti Kota Kinabalu juga perlu dinilai secara menyeluruh, termasuk dalam konteks pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, keperluan tenaga kerja serta pelaksanaan sistem Pendataan Digital Warga Asing.

Menurutnya, sistem pendataan digital itu bertujuan merekodkan jumlah sebenar warga asing yang berada di Sabah dan tidak membawa masuk warga asing baharu, sebaliknya meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dan pemantauan.

“Langkah ini penting bagi membantu aspek keselamatan, perancangan pembangunan serta penggubalan dasar yang lebih tepat dan berkesan di peringkat negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa GRS kekal komited menyokong usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu warga asing secara menyeluruh berasaskan data tepat, penguatkuasaan berkesan dan dasar yang bertanggungjawab.

“Isu keselamatan dan kedaulatan Sabah perlu ditangani secara rasional dan berasaskan fakta, bukan dengan memutarbelit data demi kepentingan politik yang akhirnya mengelirukan rakyat,” katanya.-pr/BNN