KOTA KINABALU: Hilton Kota Kinabalu mempersembahkan pilihan istimewa hidangan tradisional di Urban Kitchen sebagai pratonton awal menjelang Ramadan 2026.

Pengurus Besarnya, Smitah Shah-Boultwood berkata, pihaknya berasa amat berbesar hati menerima kehadiran para tetamu bagi bersama-sama meraikan ketibaan bulan Ramadan.

“Kami berbesar hati dapat mempersembahkan pratonton istimewa hidangan yang bakal ditawarkan sepanjang bulan Ramadan. Majlis ini amat bermakna kerana ia mencerminkan semangat sebenar Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan dan rasa syukur, selain menyatukan semua pihak,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para tetamu yang meluangkan masa untuk menghadiri pratonton berkenaan serta atas sokongan dan kepercayaan yang berterusan diberikan kepada Hilton Kota Kinabalu.

“Kehadiran anda amat bermakna bagi kami dan menjadi inspirasi untuk terus memberikan layanan mesra serta hospitaliti berkualiti seperti yang diharapkan daripada Hilton,” katanya.

Menurut Smitah, pasukan kulinari Hilton Kota Kinabalu telah menyediakan pelbagai hidangan tempatan dan autentik yang istimewa serta mencerminkan identiti Hilton.

“Ramadan merupakan bulan refleksi, kesyukuran, kemurahan hati dan perpaduan,” katanya lagi.

Majlis pratonton itu turut dihadiri tetamu jemputan termasuk wakil media serta pempengaruh media sosial.-BNN