KOTA BELUD: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) telah merasmikan Kilang Padi dan Beras Tempatan “MEKAR by SLDB” di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, sebagai satu inisiatif strategik bagi memperkukuh rantaian nilai industri padi dan beras serta menyokong jaminan keselamatan makanan negeri.

Pengurus Besar SLDB, YBhg. Datuk Syaheddrul R Joddari berkata, setakat ini kira-kira 540 ekar kawasan sawah padi terbiar telah berjaya diusahakan semula, dan dengan pengoperasian kilang padi ini, SLDB menyasarkan untuk memperluaskan usaha pemulihan sehingga 1,000 ekar di daerah Tuaran dan Kota Belud .

Inisiatif ini bertujuan melengkapkan rantaian pengeluaran dan pemprosesan padi, sekali gus meningkatkan kecekapan, pendapatan pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras luar.

“Kilang ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pemprosesan padi, malah membuka peluang pekerjaan, menambah pendapatan pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras luar,” katanya.

Beliau berkata, kilang tersebut berperanan memproses hasil tuaian Projek Padi SLDB di daerah Tuaran, Papar dan Kota Belud melibatkan keluasan tanaman semasa kira-kira 540 ekar dengan penyertaan seramai 238 peserta, yang dijangka menghasilkan sekitar 1,100 tan metrik padi bagi setiap musim.

Selain itu, kilang berkenaan turut membeli hasil tuaian pesawah sekitar Daerah Kota Belud untuk diproses dan dipasarkan sebagai beras tempatan di bawah jenama MEKAR by SLDB, sekali gus menyumbang kepada kestabilan bekalan beras negeri Sabah.

Majlis perasmian turut diserikan dengan lawatan ke fasiliti pemprosesan kilang serta sesi taklimat operasi, yang menggambarkan keupayaan sistem pemprosesan terkini dengan kapasiti memproses sehingga 15 tan padi sehari.

Dengan adanya Kilang Padi dan Beras Tempatan MEKAR by SLDB ini mencerminkan usaha berterusan SLDB dalam memacu pembangunan sosioekonomi luar bandar melalui pendekatan pertanian mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi.-pr/BNN