TUARAN: Shangri-La Rasa Ria baru-baru ini menganjurkan acara khas sehari bertemakan durian, dikenali sebagai ‘Durian Fiesta’, bagi meraikan buah ikonik yang dikenali sebagai ‘Raja Buah’ dalam suasana tradisi Sabah yang autentik.
Acara yang berlangsung pada Khamis, 22 Januari 2026 itu diadakan di venue baharu resort berkenaan, Pogun Tokou, yang diubah suai menjadi suasana tamu tradisional bagi mempamerkan pelbagai jenis durian terbaik dari kebun di Tenghilan.
Menurut pihak pengurusan resort, penganjuran acara ini bertujuan memberi pengalaman sensori kepada tetamu sambil memperkenalkan warisan pertanian Sabah.
Durian yang digunakan diperoleh daripada pembekal tempatan di Tenghilan sebagai sebahagian daripada komitmen Shangri-La Rasa Ria untuk menyokong komuniti petani tempatan dan pertanian lestari di peringkat serantau.
Tetamu hotel dan pengunjung turut disajikan dengan pilihan durian à la carte yang dikurasi, termasuk varieti popular seperti D24 yang berkrim, D123, Golden Bun yang manis dan berwarna kuning terang, serta Durian Susu yang bertekstur lembut dan berperisa milky.
Selain itu, peminat tegar durian turut berpeluang menikmati bufet makan sepuasnya dengan harga RM88 seorang.
Ini merupakan kali pertama Shangri-La Rasa Ria menganjurkan acara bertemakan durian.
Sepanjang operasi resort, pihak pengurusan turut aktif menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat sebagai sebahagian daripada inisiatif ESG (Environmental, Social and Governance).
Pogun Tokou, yang bermaksud “Tanah Kami” dalam bahasa Dusun, merupakan produk terbaharu Shangri-La Rasa Ria yang diposisikan sebagai venue premium untuk acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran). Venue ini menggabungkan elemen budaya Sabah, kelestarian alam dan hospitaliti bertaraf tinggi.
Dibina di dalam kawasan perlindungan alam seluas 400 ekar menggunakan bahan mampan oleh artisan tempatan, Pogun Tokou terdiri daripada tiga struktur tradisional yang menawarkan suasana berbeza untuk pelbagai jenis acara. Lokasinya yang menghadap hutan simpan serta pemandangan Laut China Selatan menjadikannya latar semula jadi yang unik dan inspiratif.
Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria, Fiona Hagan, berkata pihaknya mempunyai perancangan besar untuk memanfaatkan potensi Pogun Tokou sebagai venue acara bertema yang unik di Borneo.
“Penganjuran Durian Day sulung di Pogun Tokou membuktikan fleksibiliti venue ini dalam mencipta pelbagai pengalaman yang menarik untuk tetamu kami,” katanya.-pr/BNN





