KOTA KINABALU: Seramai 53 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran selama dua hari bermula 2 hingga 3 Februari lalu.

Pengarah JIM Negeri Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yusof, berkata sepanjang tempoh operasi berkenaan, seramai 177 individu telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 53 warga asing disyaki melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, daripada jumlah tangkapan itu, 24 adalah lelaki dan 29 perempuan, kesemuanya warganegara Filipina.

Beliau menegaskan JIM Negeri Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa dengan kekuatan seramai 61 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.-pr/BNN